Karektor pendebat selalunya menjadikan perdebatan menarik. Ia menjadi tarikan orangramai menonton pertandingan debat. Seolah-olah suatu lakonan yang memperlihatkan pelakon beraksi, pendebat juga sedemikian. Karektor seringkali dianggap suatu sifat semulajadi. Hakikatnya ternyata benar namun karektor juga boleh dibentuk melalui latihan yang konsisten dan berterusan.
Pendapat bahawa ‘saya memang hanya boleh menjadi pendebat pertama dan tidak boleh diletakkan pada posisi yang lain’ adalah suatu pendapat yang salah. Sebagai pendebat, di posisi manapun dia diletakkan, pendebat perlu membina karektor mengikut posisi tersebut. Hakikatnya, dalam pertandingan, pendebat diletakkan di dalam posisi mengikut keperluan pasukan. Pendebat tidak boleh menghadkan tugas dalam posisi tertentu sahaja malah perlu mengetahui semua posisi. Mereka harus berlatih secara sistematik supaya tidak kekok jika berlaku sebarang perubahan.
Pendebat perlu mempunyai disiplin dalam membina karektor bagi setiap posisi. Apa yang dimaksudkan di sini, pendebat perlu berkebolehan menjadi sopan, menunjukkan watak tegas, memujuk serta membuat jenaka dalam keadaan yang sesuai di mana karektor berkenaan memerlukan ia bertindak sedemikian.
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah ini dalam konteks perbincangan tentang faedah debat menggambarkan bagaimana jika tidak kerana seseorang pelajar bersusah payah berdebat beliau berupaya mendapatkan sesuatu yang berbaloi bagi dirinya kemudian hari. Ia mungkin berupa sesuatu keuntungan secara langsung atau tidak langsung. Sesuatu yang langsung berupa kualiti kepimpinan yang dinamik dan yang tidak langsung seperti nilai keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi.
Tidak syak lagi berdebat menjadikan kualiti kepimpinan seseorang terserlah. Setiap kali perdebatan setiap kali keyakinan diri pendebat diuji untuk berada pada tahap tertinggi. Setiap kali juga teknik komunikasi diuji melalui penggunaan bahasa yang kaya dan pelbagai. Berdebat melatih diri berfikir secara kritis, pantas ketika membidas isu serta mengaitkannya dengan perkara yang ditimbulkan semasa debat.
Debat meningkatkan keupayaan menghasilkan idea rasional, mendalami isu secara mendalam dengan memperlihatkan pendapat pro dan kontra dari perspektif berbeza. Ini menjadikan pendebat seorang pemikir yang berfikiran sederhana kerana sering didedahkan dengan pro dan kontra dalam perdebatannya. Hal ini akan menzahirkan kesederhanaan dari segi ideologi dan tindakan serta anutannya dalam hidup. Disebalik kesederhanaan seorang pendebat biasanya mempunyai daya juang yang tinggi. Semangat untuk mempertahankan pendapatnya, semangat untuk menang serta semangat untuk mempertahankan pasukan kemudian hari akan diterjemahkan dalam konteks semangat untuk mempertahankan diri, keluarga, syarikat dan organisasi.
Bagi seorang pelajar universiti berdebat melatih skil presentasi. Setiap pelajar perlu membentangkan hasil kajian mereka dihadapan profesor. Bagi pelajar yang biasa berdebat, keyakinan diri, keterampilan penyampaian dan skil mereka mengatasi pelajar lain. Seseorang yang berlatih berdebat sebenarnya melatih diri untuk kerjaya profesional seperti peguam dan ahli politik. Sebagai latihan awal kepada kerjaya politik umpamanya, pelajar belajar mengenengahkan isu kenegaraan, mempertahankan diri daripada kritikan dan belajar menghadapi krisis dalam situasi tegang dan mencabar. Situasi yang sama akan dihadapi oleh semua ahli politik yang memegang jawatan politik dalam kerajaan.
Ramai pelajar universiti tidak mempunyai kemahiran insaniah. Mereka tidak boleh berkomunikasi, tidak pandai mengemukakan pandangan apa lagi kritikan, tidak boleh menutup kelemahan peribadi seperti menyembunyikan emosi dalam keadaan tertentu apabila diperlukan serta gagal bekerjasama dalam pasukan. Di sinilah aktiviti debat sebagai sebahagian aktiviti kegiatan ko-kurikulum membantu mengenengahkan kemahiran insaniah seperti yang diperlukan.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa debat merupakan aktiviti ko-kurikulum yang baik untuk pelajar. Debat mengajar pelajar membentuk syahsiah sesuai untuk memimpin. Karektor yang dipelajari melalui debat membolehkan pendebat mengawal emosi dan menyembunyikan kegelisahan serta kekhuwatiran sepertimana juga seorang pemimpin lakukan supaya tidak melemahkan moral para pengikutnya. Kebolehan menerima kejayaan dan kekalahan juga mengajar pendebat menerima hakikat sebenar sebuah kehidupan.
Komunikasi berkesan adalah cabaran utama dalam debat. Komunikasi berkesan berlaku dalam konteks seseorang pendebat itu berupaya menyampaikan mesej yang sarat sehingga mengubah tanggapan pihak lawan terhadap apa yang disampaikannya. Kekesanan komunikasi tidak hadir sendiri, tetapi memerlukan proses pembelajaran dan latihan berterusan bagi menerapkan kemahiran dan keterampilan ketika berdebat.
“Malu bertanya sesat jalan”. Perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan asal usul gagal berkomunikasi. Malu juga berhubungkait dengan perasaan bimbang akan ditertawakan oleh kawan-kawan jika tersilap cakap. Justeru itu adalah lebih baik berada pada zon selesa dengan mendiamkan diri tanpa bersuara serta enggan memberi respon terhadap isu-isu semasa. Mereka yang mempunyai sifat begini tidak boleh menjadi pendebat.
Malu adalah sifat semulajadi manusia yang di dasari oleh pandangan diri yang negatif, sifat rendah diri dan kurang berketerampilan. Orang yang amat pemalu mempunyai persepsi bahawa orang sentiasa memerhati tingkahlaku dan tindaktanduk dirinya dan akan mentertawakan jika sesuatu kesalahan dilakukannya. Justeru itu semakin intovert persepsi diri seseorang maka semakin pemalulah ia.
Keupayaan mengatasi sifat malu memerlukan daya mencabar diri secara konsisten seperti berhadapan dengan orangramai, berucap dihadapan khalayak umum dan pendedahan berterusan kepada aktiviti yang menggalakkan sosialisasi.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah dan universiti untuk memberi pendedahan kepada anak-anak dan pelajar mengatasi perasaan malu. Dalam konteks pendedahan yang secukupnya diberikan masih ada siswa yang enggan menyertai aktiviti yang dianjurkan kerana menganggap aktiviti sedemikian hanya membuang masa. Siswa yang pasif ini sekadar bertindak selaku pemerhati bukannya pelaksana. Mereka enggan menonjolkan bakat dan buah fikiran yang ada di dalam diri mereka. Mereka sebenarnya orang yang gagal walaupun menggenggam segulung ijazah daripada menara gading!
Ilmu debat bukan sahaja perlu dimiliki oleh pelajar sekolah dan universiti, tetapi juga para profesional seperti doktor dan peguam. Pada peringkat sekolah dan universiti, debat telah menjadi platform untuk pelajar menunjukkan bakat berkomunikasi dan membentuk percambahan pendapat secara lebih berstruktur. Samada melalui pertandingan perbahasan atau perdebatan ilmiah dalam bilik kuliah, debat akan menambahkan kualiti intelektualan dan membolehkan mereka lahir sebagai pemimpin pada masa hadapan.
Seorang doktor umpamanya perlu mempertahankan tindakannya secara rasional di hadapan rakan sejawatan dalam persidangan perubatan yang kerap diadakan di hospital serta di konferens perubatan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dia akan disoal tentang kaedah rawatan serta tindakannya dalam keadaan tertentu. Doktor perlu kemahiran berkomunikasi dan salah satu cara menguasai penghujahan adalah dengan menguasai kemahiran berdebat.
Peguam yang menjalankan praktik di mahkamah merupakan ahli profesional yang menggunakan perdebatan dalam pekerjaan harian mereka. Dalam membentangkan, mempertahankan atau membela kes peguam akan berhujah di hadapan hakim. Hakim akan menilai hujah yang benar dan relevan dalam membuat keputusan.
Kesimpulannya, debat adalah wadah dalam membina karektor untuk membentuk “the towering personality”. Debat merupakan komunikasi yang di dasari pemikiran kritikal melalui pendekatan ilmu.
Debat menyemai pemikiran kritikal. Kritikal dalam konteks perdebatan bukan bermaksud sengaja mencari kesalahan pihak lawan tetapi lebih bersifat menyedarkan pihak lawan akan kesilapan, kelemahan dan kesalahan yang mungkin berdasarkan kepada andaian salah. Umpama menyedarkan sang pengembara bahawa laluan yang diikuti sebenarnya salah maka ia perlu beredar mencari laluan yang boleh membawa ke matlamat yang sebenar. Adalah dipercayai melalui proses perdebatan, mekanisme yang terjadi adalah proses mengenepikan faktor kesalahan dan kelemahan hujah supaya yang tinggal adalah hujah yang bersandarkan faktor yang mampu bertahan dengan serangan dan bantahan.
Hujah inilah yang terbaik dan diterima sebagai kebenaran. Jika tidak diterima sebagai kebenaran mutlak, ia adalah kebenaran relatif yang boleh diterima pada masa perdebatan berlangsung. Sekiranya masyarakat mengamalkan pemikiran kritikal mereka sudah pasti menolak tahyul, pengabdian membabi buta dan kepimpinan autoritarian. Pendebat pada umumnya adalah seorang yang sangat reaktif. Mereka akan cuba melihat peluang bertindakbalas sebagai reaksi kepada isu-isu yang dilontarkan dalam perdebatan. Pelbagai cara dilakukan daripada menjawab persoalan, melontarkan kembali soalan, mengemukakan analogi dan seterusnya memperkecilkan isu yang dikemukakan.
Perbezaan pendapat dalam perdebatan adalah lumrah dan tidak memudaratkan. Terdapat pengertian sejauhmana kedua-dua pihak bertelagah untuk berkompromi dan bertoleransi terhadap perbezaan perdapat antara mereka. Emosi seharusnya tidak mengambil tempat utama sebalik pemikiran kritikal. Minda yang ‘dingin’ penting ketika kehangatan perdebatan berlangsung.
Debat merujuk kepada perbahasan, pertentangan idea, pendapat dan buah fikiran. Perdebatan melibatkan pertelingkahan hujah di antara orang yang menyokong dan menentang isu yang dipolimikkan.
Umumnya apabila seorang ahli politik mencabar ahli politik lain berdebat, apa yang terdetik di fikiran umum berupa suatu pertelingkahan pendapat antara ahli politik yang membawa usul vs. ahli politik yang menempelak usul. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menegakkan pendirian masing-masing.
Hakikatnya, debat merupakan wacana kritikal untuk memperhalusi isu. Isu yang menjadi tajuk medan perdebatan diketengahkan sebagai usul. Usul didefinisi, diperinci dan dikupas menurut perspektif penyokong yang disebut kerajaan dan pembidas usul yang disebut pembangkang. Bukti dibentangkan dalam bentuk hujah. Hujah diperkuat dengan fakta. Pada akhirnya, penggulungan merupakan medan menyimpulkan hujah.
Seni berhujah menggunapakai prinsip logik. Secara amnya, logik merupakan suatu kaedah membezakan antara hujah benar dan salah. Justeru itu seni berdebat yang menggunakan logik sebagai dasar adalah merupakan ‘science of reasoning’ atau ‘the science of the law of thought’.
Perdebatan sebenarnya bertujuan untuk mencari kebenaran melalui hujah yang benar serta tidak dapat dipertikaikan kebenarannya secara mutlak atau relatif. Menegakkan pendirian adalah proses dalam perdebatan. Ia sekali-kali bukan tujuan sebenar perdebatan.
PERTANDINGAN DEBAT NAIB CANSELOR UNIVERSITI DARUL IMAN MALAYSIA mula diperkenalkan di Universiti Darul Iman Malaysia pada tahun 2007 bagi sesi 2007/2008. Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UDM Kali-1 merupakan program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2007/2008, Kelab Orator UDM serta Pusat Penataran Ilmudan Kali Ke-2 program ini menjadi anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UDM sesi 2008/2009 dengan kerjasama Kelab Orator UDM dengan mempertandingkan 2 kategori iaitu Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris. Pertandingan ini dijadikan program tahunan universiti dan merupakan salah satu program terbesar yang dijalankan di Universiti Darul Iman Malaysia. Setiap fakulti pengajian di UDM akan menghantar kumpulan yang mewakili fakulti masing-masing.Tema Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UDM Kali-1 ialah “DEBAT MENJANA KEMAHIRAN INSANIAH MAHASISWA INTELEKTUAL”dan Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UDM Kali Ke-2 iaitu “DEBAT MEMACU KELANGSUNGAN INTEGRITI MAHASISWA”. Pertandingan ini bertujuan melahirkan mahasiswa yang berfikiran minda kelas pertama berfikir secara kreatif dan kritis serta mengcunhkil bakat-bakat baru dalam dunia debat yang bakal menjadi pelapis mewakili universiti dalam mana-mana pertandingan debat antara IPT.
OBJEKTIF DePNC UDM
ØMelahirkan mahasiswa/wi yang berfikiran minda kelas pertama yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis
Ø Mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia debat yang bakal menjadi pelapis untuk mewakili universiti dalam mana-mana pertandingan debat antara IPT
ØMemupuk pelajar Universiti Darul Iman Malaysia untuk terus aktif dalam bidang ko-kurikulum yang akan meningkatkan pembangunan diri mereka sebagai mahasiswa/wi
ØMewujudkan percambahan idea diantara pelajar-pelajar dalam mengupas isu semasa yang berlaku dalam negara mahupun luar Negara
Ø Meransang perubahan bagi setiap mahasiswa/wi yang mampu berdebat dan berucap dengan penuh keyakinan
KEPUTUSAN PERTANDINGAN DePNC UDM
DePNC UDM Kali-1 :
KATEGORI BAHASA MELAYU
JOHAN
Fakulti Kontemporari Islam (FKI)
NAIB JOHAN
Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa (FUHA)
DePNC UDM Kali Ke-2 :
KATEGORI BAHASA MELAYU
JOHAN
Fakulti Kontemporari Islam (FKI)
NAIB JOHAN
Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa (FUHA)