DEBAT DAN KOMUNIKASI BERKESAN

Komunikasi berkesan adalah cabaran utama dalam debat. Komunikasi berkesan berlaku dalam konteks seseorang pendebat itu berupaya menyampaikan mesej yang sarat sehingga mengubah tanggapan pihak lawan terhadap apa yang disampaikannya. Kekesanan komunikasi tidak hadir sendiri, tetapi memerlukan proses pembelajaran dan latihan berterusan bagi menerapkan kemahiran dan keterampilan ketika berdebat.
“Malu bertanya sesat jalan”. Perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan asal usul gagal berkomunikasi. Malu juga berhubungkait dengan perasaan bimbang akan ditertawakan oleh kawan-kawan jika tersilap cakap. Justeru itu adalah lebih baik berada pada zon selesa dengan mendiamkan diri tanpa bersuara serta enggan memberi respon terhadap isu-isu semasa. Mereka yang mempunyai sifat begini tidak boleh menjadi pendebat.
Malu adalah sifat semulajadi manusia yang di dasari oleh pandangan diri yang negatif, sifat rendah diri dan kurang berketerampilan. Orang yang amat pemalu mempunyai persepsi bahawa orang sentiasa memerhati tingkahlaku dan tindaktanduk dirinya dan akan mentertawakan jika sesuatu kesalahan dilakukannya. Justeru itu semakin intovert persepsi diri seseorang maka semakin pemalulah ia.
Keupayaan mengatasi sifat malu memerlukan daya mencabar diri secara konsisten seperti berhadapan dengan orangramai, berucap dihadapan khalayak umum dan pendedahan berterusan kepada aktiviti yang menggalakkan sosialisasi.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah dan universiti untuk memberi pendedahan kepada anak-anak dan pelajar mengatasi perasaan malu. Dalam konteks pendedahan yang secukupnya diberikan masih ada siswa yang enggan menyertai aktiviti yang dianjurkan kerana menganggap aktiviti sedemikian hanya membuang masa. Siswa yang pasif ini sekadar bertindak selaku pemerhati bukannya pelaksana. Mereka enggan menonjolkan bakat dan buah fikiran yang ada di dalam diri mereka. Mereka sebenarnya orang yang gagal walaupun menggenggam segulung ijazah daripada menara gading!
Dikarang Oleh: Faiz Razali


No comments:
Post a Comment